SYDNEY: Syarikat pembekal tenaga elektrik terbesar Australia pada Khamis mengesahkan bahawa data pelanggan, termasuk sebahagian maklumat akaun bank dan kad kredit terjejas dalam satu serangan siber, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Bursa Sekuriti Australia (ASX), Origin Energy memaklumkan bahawa berlaku "akses tanpa kebenaran dan pendedahan" terhadap sebahagian data pelanggan.
Perkara itu berlaku sehari selepas syarikat yang membekalkan elektrik, gas dan perkhidmatan Internet kepada 4.8 juta pelanggan itu memaklumkan yang ia sedang menyiasat kemungkinan satu insiden keselamatan.
Origin menjelaskan pada Khamis bahawa pihaknya sedang berusaha mengenal pasti jumlah sebenar pelanggan yang terjejas.
Menurut syarikat itu, data yang mungkin terjejas termasuk nama pelanggan, alamat, tarikh lahir, nombor telefon, serta empat digit terakhir nombor kad kredit atau tiga digit terakhir nombor akaun bank.
Pada Rabu, syarikat itu menyatakan yang mereka tidak percaya data yang terjejas melibatkan butiran penuh kad kredit atau akaun bank.
"Saya memohon maaf atas kejadian ini. Pelanggan mempercayai Origin untuk menjaga maklumat mereka, dan saya memohon maaf atas kesan yang mungkin timbul akibat insiden ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Frank Calabria pada Khamis.
"Antara keutamaan kami ialah mengambil tindakan untuk memperkukuh keselamatan sistem kami dan memastikan tiada lagi akses tanpa kebenaran berlaku," katanya.
Insiden itu mula dilaporkan pada Rabu oleh akhbar The Australian, selepas ia dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa sebagai penggodam dan mengaku telah mengakses data kira-kira dua juta pelanggan Origin.
-- BERNAMA-XINHUA