Skip to main content

Dunia

Pakistan, Mesir tekan penyelesaian diplomatik susulan konflik AS-Iran

71753396624_TBIshaqDar.jpg
Ishaq (gambar) dan Badr Abdelatty bertukar pandangan mengenai isu serantau semasa serta menegaskan komitmen mereka terhadap diplomasi sebagai saluran bagi mempromosikan keamanan dan kestabilan. - Gambar fail

ISTANBUL: Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan rakan sejawatnya dari Mesir Badr Abdelatty pada Khamis menekankan kepentingan dialog berterusan serta penglibatan diplomatik susulan pertempuran baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, kedua-dua menteri bertukar pandangan mengenai isu serantau semasa serta menegaskan komitmen mereka terhadap diplomasi sebagai saluran bagi mempromosikan keamanan dan kestabilan.

Perbualan telefon itu berlangsung ketika AS dan Iran saling melancarkan serangan udara baharu pada waktu malam, meskipun gencatan senjata dicapai pada April bagi menamatkan perang yang berterusan sejak 28 Feb.

Menurut kenyataan kementerian itu, Abdelatty menghargai usaha berterusan Pakistan dalam pengantaraan, manakala kedua-dua pemimpin menyuarakan harapan agar inisiatif diplomatik yang sedang berlangsung dapat membawa kepada persefahaman awal antara pihak berkaitan serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau itu.

Menurut kenyataan itu, Abdelatty turut menjemput Dar menghadiri mesyuarat menteri luar serantau empat negara (R-4) yang dijadual berlangsung di Mesir pada hujung bulan ini.

Dar menerima jemputan itu, menurut kenyataan berkenaan.

Kedua-dua menteri luar bersetuju untuk terus berhubung rapat dan meneruskan rundingan mengenai perkembangan serantau serta isu berkepentingan bersama, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement