NEW YORK: Mogok yang menjejaskan sistem kereta api paling sibuk di Amerika Utara berakhir selepas rundingan antara kesatuan pekerja dan pihak pengurusan mencapai persetujuan sementara, sekali gus menamatkan gangguan perjalanan yang menjejaskan ribuan penumpang.
Gabenor New York, Kathy Hochul, berkata perjanjian yang dicapai antara kesatuan dan Metropolitan Transportation Authority (MTA) itu memberi kenaikan gaji kepada pekerja sambil melindungi kepentingan pengguna serta pembayar cukai.
Perkhidmatan Long Island Rail Road (LIRR) dijangka disambung semula pada tengah hari Selasa.
Mogok yang bermula pada Sabtu itu menyebabkan kekacauan perjalanan, khususnya pada waktu puncak pagi Isnin apabila ribuan penumpang terpaksa mencari alternatif untuk ke tempat kerja.
Di Stesen Penn New York, yang lazimnya dilalui kira-kira 600,000 penumpang setiap hari, suasana luar biasa sepi apabila perkhidmatan kereta api dihentikan.
Seorang penduduk Brooklyn, Mekan Esenov, berkata beliau menghadapi kesukaran untuk ke lapangan terbang di Long Island.
“Tiada tren. Kami cuba menggunakan Uber, tetapi tambang sekitar AS$250,” katanya.
Bagi mengurangkan kesan, MTA menyediakan bas ulang-alik percuma untuk beberapa laluan, namun memberi amaran berlakunya kesesakan teruk dan kelewatan.
Mogok tersebut melibatkan kira-kira 3,500 pekerja yang diwakili kesatuan, selepas rundingan dengan pihak pengurusan gagal mencapai persetujuan berhubung kenaikan gaji dan syarat kerja.
Kesatuan menuntut kenaikan gaji sebanyak lima peratus untuk tahun berikutnya, manakala MTA sebelum ini menawarkan kenaikan sekitar tiga peratus dengan kemungkinan meningkat hingga 4.5 peratus.
Rundingan disambung semula pada Ahad dan Isnin selepas Hochul menggesa kedua-dua pihak kembali ke meja perundingan, dengan bantuan agensi buruh persekutuan.
Ini merupakan mogok pertama yang menjejaskan LIRR dalam tempoh lebih 30 tahun.
Pada Isnin, pekerja kesatuan mengadakan protes di Midtown Manhattan, menuntut gaji adil, kontrak yang lebih baik serta layanan yang bermaruah.
Seorang wakil kesatuan Brotherhood of Railroad Signalmen, Olivier Desinor, berkata para pekerja sebenarnya lebih rela bekerja berbanding mogok.
“Kami pekerja yang rajin. Ini bukan situasi yang kami inginkan, tetapi kami akan terus bersatu dan menghadapinya,” katanya.
Setiap hari bekerja, kira-kira 250,000 penumpang bergantung kepada perkhidmatan LIRR, terutamanya dari kawasan pinggir timur New York dan Long Island.
Gangguan selama beberapa hari itu memberi kesan besar kepada perjalanan harian dan aktiviti ekonomi, termasuk pelancongan ke destinasi popular seperti Hamptons dan Montauk.
Dengan persetujuan sementara dicapai, kedua-dua pihak dijangka memuktamadkan perjanjian dalam masa terdekat, sekali gus memulihkan operasi sepenuhnya rangkaian kereta api tersebut.
Pihak berkuasa terus menekankan kepentingan keseimbangan antara keperluan pekerja dan kemampuan kewangan sistem pengangkutan awam bagi memastikan perkhidmatan kekal mampan dalam jangka panjang.