SEPANG: Sebanyak 10 buah kapal yang dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini masih meneruskan pelayaran ke perairan Gaza, dijangka tiba dalam tempoh kira-kira sembilan jam lagi sekiranya tidak dipintas atau diceroboh oleh rejim Zionis.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tempoh sembilan jam itu merupakan fasa paling mendebarkan dalam misi berkenaan yang kini berada di dalam Zon Merah 2.
“Ini sembilan jam yang sangat mendebarkan, sembilan jam pecutan akhir.
“Aktivis Malaysia yang terlibat iaitu Hareez dan Chin di atas Kapal Alcyone ketika dihubungi oleh pihak SNCC memaklumkan bahawa mereka tidak patah hati, terus ke depan dan memohon doa dari orang ramai untuk keselamatan mereka sekali gus membuktikan bahawa dunia sedang bangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Sumud Nusantara Command Centre di Sepang, hari ini.
Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan bahawa empat rakyat Malaysia masih berada dalam misi pelayaran itu iaitu Hareez dan Chin di atas Kapal Alcyone, Syed Amirul kapal Don Juan serta Noor Thanisah kapal Zefiro.
Beliau turut memaklumkan, setakat jam tiga petang waktu tempatan, sebanyak 40 kapal flotila melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan telah dipintas dan diceroboh oleh pihak rejim Israel di perairan antarabangsa ketika dalam misi menuju ke Gaza.
“Pihak SNCC turut menerima laporan visual yang mengesahkan kesemua aktivis terbabit telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa sebelum dipindahkan ke empat kapal tentera milik rejim berkenaan.
“Bagaimanapun, sehingga kini SNCC masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung status semua aktivis yang ditahan termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pintasan berlaku,” ujarnya lagi.