Skip to main content

Sukan

Air mata 10 tahun berbaloi, Mohammad Yusof raih gelaran Olahragawan Paralimpik

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Jaguh para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shahruddin yang dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan ketika ditemu bual selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jaguh para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shahruddin yang dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan ketika ditemu bual hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Air mata dan titisan peluh sepanjang sedekad berkecimpung dalam arena para berbasikal akhirnya membuahkan hasil apabila impian Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin untuk bergelar Olahragawan Paralimpik menjadi kenyataan.

Mohammad Yusof dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan kerja kerasnya selama 10 tahun berdepan pelbagai cabaran demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

“Anugerah ini adalah tanda kerja keras saya selama 10 tahun. Memang saya sangat idamkan gelaran Olahragawan ini sebagai hadiah untuk ibu bapa saya,” kata juara dunia berusia 28 tahun itu pada sidang media selepas menerima anugerah tersebut.

Mengulas lanjut, Mohammad Yusof berkata fokus utamanya kini terarah kepada persiapan menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang dijadualkan bermula Julai ini yang juga merupakan penampilan pertamanya di temasya berkenaan.

Selain Sukan Komanwel, beliau turut bakal menggalas cabaran negara di Sukan Para Asia dan Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Belanda masing-masing pada Oktober.

Image
KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Jaguh Para Berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shahruddin yang dinobat sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.  Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan timbalannya Mordi Bimol.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Jaguh Para Berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shahruddin yang dinobat sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, mengulas mengenai potensi penampilannya di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28), Mohammad Yusof menyerahkan perkara itu kepada strategi barisan kejurulatihan.

Mohammad Yusof mencipta sensasi apabila meraih pingat emas pertama dunia buat negara menerusi acara pecut 200 meter kategori MC1 di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada majlis ASN 2025 hari ini, beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menjadi milik atlet para renang Lim Carmen.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.

-- BERNAMA

Must Watch Video