KUALA LUMPUR: Lima subsektor pembuatan telah dikenal pasti paling terkesan berikutan impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Ahmad Nasir.
Beliau berkata subsektor itu ialah automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrik dan elektronik.
Katanya tinjauan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 syarikat ahli FMM merangkumi 29 subsektor pembuatan menunjukkan bahawa tekanan yang dihadapi industri adalah menyeluruh.
“Isu utama yang dibangkitkan meliputi bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga.
“Dapatan ini menunjukkan bahawa tekanan yang dihadapi industri pembuatan memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport dan keupayaan syarikat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian hari ini.
Terdahulu, Akmal Nasrullah berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mendengar pembentangan daripada FMM berhubung impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global terhadap industri pembuatan negara.
Katanya sektor pembuatan merupakan antara pemacu utama ekonomi Malaysia, khususnya dari segi sumbangan kepada eksport, peluang pekerjaan, pelaburan serta rantaian bekalan domestik.
Beliau berkata kerajaan sedia maklum bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah lebih terdedah berikutan ruang kewangan mereka yang lebih terhad untuk menyerap tekanan kos yang berpanjangan.
“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani secara berkesan, ia boleh menjejaskan output negara, prestasi eksport, pelaburan masa depan dan pendapatan isi rumah,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan bersasar bagi membantu PKS mengekalkan aliran tunai, mengurus tekanan kos dan memastikan kesinambungan operasi.
“Sokongan ini termasuk SME Stabilisation Relief Facility oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion bagi menyediakan pembiayaan modal kerja kepada PKS yang terkesan,” katanya.
Selain itu, katanya kerajaan turut menyediakan sokongan jaminan pembiayaan kepada PKS melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd merentas sektor ekonomi termasuk sektor pembuatan tertakluk kepada kelayakan skim.
“Kerajaan juga menghargai usaha syarikat yang mengambil langkah dalaman untuk mengekalkan guna tenaga dalam keadaan tekanan yang dihadapi,” katanya.
-- BERNAMA