PUTRAJAYA: Laporan mengenai Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata nota Jemaah Menteri akan disediakan sebelum dibentangkan, selaras permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
“Kebetulan semalam saya melawat depoh di Bidor. Di sana sedang berlangsung satu projek khas.
“Ia berkaitan pengurusan pelarian secara komprehensif yang berpotensi menjadi ‘game changer’ kepada pendekatan negara dalam menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin dalam pada itu meminta Jabatan Imigresen memperkukuh keupayaan agensi bagi mendepani ancaman sindiket rentas sempadan membabitkan pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara.
Katanya, Jabatan Imigresen perlu mempunyai kemampuan membaca pola migrasi global, memahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan, dan membuat unjuran risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.
"Sindiket hari ini tidak lagi beroperasi secara konvensional. Mereka menggunakan pasport yang dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa, serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa untuk mengaburi penguatkuasaan imigresen.
"Laluan migrasi tidak teratur hari ini berkembang menjadi satu 'operational ecosystem' yang sentiasa berubah mengikut tekanan penguatkuasaan dan peluang yang tersedia," katanya.