PORT LOUIS, MAURITIUS: Kerajaan Mauritius mengenakan larangan sementara kemasukan terhadap warga asing yang pernah melawat, transit atau berada di Republik Demokratik Congo (DRC), Uganda atau Sudan Selatan dalam tempoh 21 hari lalu susulan penularan terkini wabak Ebola.
Rakyat Mauritius dan penduduk asing yang memegang permit kerja, permit pemastautin, permit pekerjaan, permit perniagaan atau permit pelajar yang sah masih dibenarkan memasuki negara itu, namun tertakluk kepada kuarantin mandatori selama 21 hari sekiranya mereka pernah mengunjungi mana-mana daripada tiga negara berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelumnya.
Menurut Kesatuan Afrika, wabak Ebola di DRC, Uganda dan Sudan Selatan terus menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan awam serantau.
Pihak berkuasa Mauritius turut mewajibkan saringan dan penilaian risiko di pintu masuk negara bagi pengembara yang tiba dari negara terjejas.
Mana-mana pengembara yang menunjukkan simptom penyakit itu akan diasingkan serta-merta dan menjalani penilaian klinikal.
Kerajaan turut menggesa Sidang Kemuncak Perniagaan AS-Afrika Ke-18, yang pada asalnya dijadual berlangsung di Mauritius pada Julai, ditangguhkan.
Wabak Ebola diisytiharkan di DRC dan Uganda pada 15 Mei. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudian mengisytiharkannya sebagai darurat kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.
-- BERNAMA-XINHUA