WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluluskan cadangan penjualan bom berketepatan tinggi, Joint Direct Attack Munition (JDAM) dan peralatan berkaitan kepada Korea Selatan, kata Jabatan Negara AS pada Isnin, sambil menyatakan cadangan jualan itu akan membantu meningkatkan keupayaan pertahanan sekutu Asia berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Jabatan itu mengumumkan keputusan mengenai potensi jualan ketenteraan antara kerajaan (Foreign Military Sale - FMS) yang dianggarkan bernilai US$106 juta. Cadangan jualan itu memerlukan pemberitahuan dan semakan Kongres.
Menurut jabatan itu, Korea Selatan memohon untuk membeli 708 kit ekor JDAM KMU-557, 58 set panduan JDAM KMU-572 serta barangan lain termasuk peralatan sokongan senjata dan perkhidmatan sokongan kejuruteraan, teknikal serta logistik oleh kerajaan AS dan kontraktor.
“Cadangan jualan ini akan meningkatkan keupayaan Republik Korea untuk menangani ancaman semasa dan masa depan dengan memperluas keupayaan pertahanan udara kritikal di rantau ini serta memastikan kesalingoperasian dengan tentera AS,” menurut jabatan itu.
Jabatan itu berkata syarikat Boeing yang berpangkalan di Arlington, Virginia akan menjadi kontraktor utama bagi penjualan senjata berkenaan.
-- BERNAMA-YONHAP