Skip to main content

Dunia

Lelaki bunuh isteri, enam anak sebelum bakar rumah di Michigan

61434894430_CRIMESCENEGENERIC.jpg
Kapten Jacob Sparks dari Pejabat Syerif Ottawa County berkata hasil siasatan mendapati suspek, Kristopher Karolkiewicz, 47, menembak mati isterinya, Amanda Karolkiewicz, 39, serta enam anak mereka sebelum membunuh diri. -Gambar hiasan

MICHIGAN: Seorang lelaki dipercayai menembak mati isterinya dan enam anak mereka dalam kejadian di Grand Haven Township, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

Keputusan bedah siasat mengesahkan kesemua lapan mangsa meninggal dunia akibat luka tembakan di rumah yang terletak di pesisiran timur Tasik Michigan itu.

Kapten Jacob Sparks dari Pejabat Syerif Ottawa County berkata hasil siasatan mendapati suspek, Kristopher Karolkiewicz, 47, menembak mati isterinya, Amanda Karolkiewicz, 39, serta enam anak mereka sebelum menembak dirinya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan bunuh diri.

Enam kanak-kanak yang terbunuh berusia antara lima hingga 15 tahun, membabitkan empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Pihak bomba pada mulanya menerima laporan mengenai bau dan kepulan asap sebelum dikerahkan ke kediaman berkenaan.

Beberapa jam kemudian, mereka kembali ke lokasi selepas menerima aduan mengenai asap putih yang keluar dari rumah tersebut.

Sebaik api berjaya dikawal, anggota bomba menemui kesemua mangsa maut di beberapa bilik tidur berasingan di dalam rumah berkenaan.

Haiwan peliharaan keluarga itu turut ditemukan mati dalam kebakaran tersebut.

Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu sengaja dicetuskan di beberapa bahagian rumah selepas kejadian tembakan berlaku.

Bagaimanapun, punca dan titik permulaan kebakaran masih disiasat.

Pihak berkuasa berkata tiada suspek lain yang sedang diburu kerana siasatan menunjukkan kejadian itu merupakan kes bunuh dan bunuh diri yang berlaku dalam rumah tersebut.

Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement