MOSCOW: Lebih 170,000 penduduk terjejas akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun di negeri Assam di timur laut India, menurut laporan The Indian Express pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut laporan itu, bahagian timur negeri berkenaan terjejas teruk, dengan lima sungai melepasi paras bahaya setakat Isnin pagi.
Bangunan kediaman mengalami kerosakan, manakala kawasan pertanian turut menanggung kerugian, kata laporan itu.
Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma berkata, kerajaan negeri telah meminta tentera darat dan tentera udara India untuk bersiap sedia bagi operasi pemindahan dan menyelamat sekiranya diperlukan.
Limpahan air Sungai Dikhow turut menjejaskan perkhidmatan kereta api, dengan beberapa laluan landasan ditenggelami air.
Dua perkhidmatan kereta api telah dibatalkan manakala enam lagi diubah laluan, lapor akhbar berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI