KUALA LUMPUR: Malaysia tidak melihat situasi di Laut China Selatan dengan kebimbangan yang berlebihan, sebaliknya terus mengutamakan pendekatan dialog serta penglibatan konstruktif dan berterusan dalam menangani sebarang isu yang timbul di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan, pengalaman Malaysia dalam berurusan dengan China menunjukkan hubungan kedua-dua negara kekal baik, konstruktif dan tidak pernah menyaksikan sebarang tindakan agresif yang mencetuskan ketegangan besar.
“Saya secara peribadi tidak berkongsi kebimbangan berlebihan mengenai potensi ancaman di Laut China Selatan.
“Ya, memang terdapat beberapa isu, namun setakat ini pendirian dan pengalaman Malaysia adalah melalui pertukaran pandangan yang bermakna dengan China,” katanya pada sesi soal jawab selepas Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39 di sini hari ini.
Anwar berkata China sebelum ini turut menyatakan komitmen terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) serta usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (Code of Conduct) di Laut China Selatan.
Menurut beliau, komitmen itu harus dimanfaatkan sebagai landasan untuk memperkukuh rundingan dan kerjasama, bukannya membesarkan kemungkinan berlakunya konflik.
Beliau berkata sebagai sebuah negara maritim, Malaysia sememangnya berdepan beberapa isu sempadan dan perairan dengan negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina, namun perkara itu sentiasa diuruskan menerusi saluran diplomatik tanpa menjejaskan hubungan dua hala.
“Begitu juga dengan China. Memang ada isu dan saya sendiri telah membangkitkannya kepada Presiden Xi Jinping serta Perdana Menteri Li Qiang, tetapi hubungan kami kekal cemerlang.
“Adakah terdapat isu? Ya. Adakah terdapat potensi konflik? Ya. Namun, tidak pernah berlaku satu tindakan agresif besar yang mencetuskan ketegangan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata dalam banyak forum antarabangsa, isu Laut China Selatan sering diberikan perhatian berlebihan dengan penekanan kepada risiko peperangan dan ancaman keselamatan, sedangkan realiti di rantau ini menunjukkan ruang dialog dan kerjasama masih terbuka luas.