Skip to main content

Dunia

Kesesakan di pusat perlindungan tingkat risiko penularan Ebola di DR Congo - PBB

EBOLA
Kes Ebola dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 270,000 penduduk di wilayah Ituri, pusat penularan wabak itu. - AP

NEW YORK: Kesesakan dan akses terhad kepada perkhidmatan asas di pusat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal meningkatkan risiko penularan Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut amaran petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, lapor Xinhua.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengesahkan kes Ebola dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 270,000 penduduk di wilayah Ituri, pusat penularan wabak itu.

OCHA berkata PBB dan rakan kongsinya membantu komuniti terjejas menerusi langkah pencegahan dan peningkatan kesedaran, termasuk menyediakan kemudahan mencuci tangan serta menjalankan program penerangan kepada masyarakat mengenai langkah pencegahan Ebola.

Di Kinshasa, pihak berkuasa kesihatan mengumumkan jumlah kes Ebola yang disahkan di DRC meningkat kepada 2,423, termasuk 967 kematian.

Menurut pihak berkuasa, seramai 734 pesakit masih menjalani kuarantin atau menerima rawatan setakat 19 Julai, manakala 469 orang pulih sejak wabak itu bermula.

Wabak yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo itu diisytiharkan pada 15 Mei dan sejak itu merebak ke lima wilayah.

Pergerakan penduduk, ancaman keselamatan, aktiviti perlombongan secara kecil-kecilan serta pergerakan rentas sempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan terus menyumbang kepada penularan wabak berkenaan.

Setakat 19 Julai, seramai 121 petugas kesihatan barisan hadapan di wilayah Ituri turut dijangkiti, dengan 36 kematian direkodkan.

Sementara itu, DRC dan Uganda menjalankan penilaian teknikal bersama terhadap sebuah makmal bergerak di Kasenyi berhampiran sempadan bagi memperkukuh pemantauan rentas sempadan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement