GAZA: Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang ditubuhkan atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan ketibaan kumpulan pertama kenderaan taktikal di pangkalan Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) berhampiran Gaza, ketika persiapan logistik bagi penempatan pasukan multinasional di wilayah itu terus dipergiat.
Menerusi hantaran di platform X, lembaga itu memaklumkan bahawa kenderaan berkenaan telah tiba di kawasan sokongan logistik yang dikenali sebagai “Logistics Support Area: Endurance”, sambil berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan proses penghantaran aset tersebut.
Ketibaan kenderaan taktikal itu dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam persediaan penugasan pasukan multinasional yang dijangka memainkan peranan keselamatan dan penstabilan di Gaza.
Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem, menyambut baik perkembangan tersebut dan berharap ia menjadi permulaan kepada pelaksanaan sebenar tanggungjawab yang diberikan kepada lembaga berkenaan.
Menurut Qassem, antara tugas utama yang diharapkan dapat dilaksanakan ialah memisahkan penduduk Palestin di Gaza daripada tentera Israel serta menghentikan pelanggaran yang didakwa dilakukan terhadap penduduk wilayah itu.
“Kami menyeru Lembaga Keamanan untuk memulakan pelaksanaan sebenar peruntukan pelan bagi menamatkan perang di Gaza,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada usaha yang dipelopori Trump untuk mencapai penyelesaian damai di Gaza.
Mesyuarat pertamanya diadakan pada 19 Februari di Institut Keamanan Amerika Syarikat di Washington.
Di bawah pelan berkenaan, fasa kedua perjanjian gencatan senjata dijangka menyaksikan pengunduran lanjut tentera Israel dari Gaza, manakala ISF akan mengambil alih beberapa tanggungjawab keselamatan selain membantu penghantaran bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula wilayah tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika wakil Hamas berada di Kaherah untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Mesir dan pihak pengantara mengenai pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza.