Skip to main content

Politik

PRN Melaka bukan medan provokasi - Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka 2025 malam tadi._BERNAMA
Ab Rauf berkata walaupun rakyat bebas berbeza parti, pandangan dan pilihan politik, aspek keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri perlu sentiasa menjadi keutamaan. - Foto fail/BERNAMA

ALOR GAJAH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Melaka tidak boleh dijadikan medan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam sebaliknya proses demokrasi itu mesti berlangsung dalam keadaan aman serta terkawal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata walaupun rakyat bebas berbeza parti, pandangan dan pilihan politik, aspek keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri perlu sentiasa menjadi keutamaan.

"Pilihan raya ialah medan demokrasi, bukan medan provokasi. Kita boleh berbeza parti, berbeza pandangan dan berbeza pilihan, namun apabila menyentuh soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri Melaka, prinsip kita mesti jelas tiada kepentingan politik yang lebih besar daripada keamanan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi Per PRN Ke-16 Negeri Melaka (Simulasi Ketenteraman Awam) di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Ab Karim di sini malam tadi. 

Hadir sama Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Krisis Bencana) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman DCP Datuk M.V Srikumar dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar. 

Ab Rauf berkata latihan simulasi itu bukan sekadar demonstrasi sebaliknya membuktikan kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan sentiasa bersedia dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka yang mencetuskan idea pelaksanaan latihan berkenaan, yang merupakan pertama seumpamanya di negeri ini. 

Sementara itu, Dzulkhairi berkata selain polis semua pihak yang terlibat berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka diadakan pada September ini. 

Beliau berkata simulasi selama dua hari itu membuktikan seluruh jentera keselamatan negeri berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang proses pilihan raya nanti, merangkumi pelbagai senario termasuk pengiringan kotak peti undi, kawalan rusuhan, provokasi, inisden kebakaran dan tindakan penyuraian mengikut prosedur operasi ditetapkan. 

"Unsur provokasi daripada orang awam itu antara yang kita jangkakan tapi melalui risikan Melaka agak terkawal dan aman. Kita tidak menjangkakan berlakunya rusuhan sedemikian, namun persediaan awal tetap kita lakukan. 

"Setiap kelemahan yang dikenal pasti sepanjang latihan ini akan diperbaiki dan semua prosedur operasi diperkemas sebelum pilihan raya berlangsung bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik," katanya.

Dzulkhairi berkata selain PDRM, simulasi berskala besar dengan seramai 395 pegawai, anggota dan wakil pelbagai agensi itu turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan.

PRN Ke-16 Melaka melibatkan 685,455 pengundi berdaftar di 264 pusat mengundi dengan 1,198 saluran mengundi di seluruh negeri.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, PDRM Melaka akan menggerakkan lebih 3,300 pegawai dan anggota, disokong Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU), satu trup Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta pengaktifan empat bilik gerakan di peringkat kontinjen dan daerah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement