EAST RUTHERFORD: Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, menegaskan tumpuan utamanya adalah membantu negaranya menjulang trofi Piala Dunia, bukannya mengejar rekod jaringan Lionel Messi.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol ketika Perancis membelasah Sweden 3-0 dalam aksi pusingan 32 terbaik pada Selasa, sekali gus mengumpul 18 gol sepanjang karier Piala Dunia dan hanya ketinggalan satu gol di belakang rekod 19 gol yang dipegang Messi.
Dua jaringan tersebut turut membolehkan Mbappe menyamai Messi di puncak carta penjaring terbanyak edisi kali ini dengan enam gol.
Namun, kapten Perancis itu berkata sasaran sebenar skuad Les Bleus adalah mara ke final dan membawa pulang trofi kejohanan.
“Sasaran kami adalah untuk pergi sejauh mungkin, mara ke final pada 19 Julai dan kembali ke stadium ini,” kata Mbappe kepada pemberita selepas perlawanan.
“Kami mahu menang dan mengambil satu langkah pada satu masa. Sudah tentu, semakin banyak gol yang dijaringkan, semakin tinggi kedudukan anda dalam senarai penjaring, tetapi itu bukan fokus utama saya,” katanya.
Mbappe turut menjangkakan Messi akan terus menambah jumlah jaringannya dalam kejohanan tersebut.
“Saya yakin Leo akan menjaringkan lebih banyak gol, jadi saya tidak terlalu memikirkannya. Saya lebih fokus kepada lawan yang bakal kami hadapi dan sejauh mana kami semakin hampir kepada matlamat kami iaitu ke final,” katanya.
Argentina yang diketuai Messi dijadual menentang Cape Verde dalam pusingan 32 terbaik pada Jumaat, manakala Perancis akan berdepan Paraguay bagi merebut tempat ke suku akhir.
Jika berjaya menewaskan Paraguay, Perancis bakal bertemu antara Kanada atau Maghribi pada peringkat lapan terbaik.
Mbappe turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah Paraguay walaupun pasukan Amerika Selatan itu menggunakan corak permainan bertahan untuk menyingkirkan juara dunia empat kali, Jerman, menerusi penentuan penalti pada pusingan terdahulu.
“Kami akan terus bekerja hingga menjelang perlawanan menentang Paraguay untuk melihat aspek yang boleh diperbaiki kerana masih ada ruang untuk peningkatan,” katanya.
“Secara keseluruhan, prestasi kami positif dan keupayaan menjaringkan gol memberi kami peluang untuk sentiasa berada di hadapan dalam setiap perlawanan.”