ALOR SETAR: Pasukan bomba membantu menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Jerai, Yan, Ahad lepas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan mangsa yang berusia 34 tahun dijumpai pada jarak kira-kira 20 meter dari tebing gaung sebelum dibawa naik oleh pasukan bomba pada 9.37 malam tadi.
“Bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada 7.30 malam sebelum sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak tiba di lokasi di Padang Tok Sheikh, Gunung Jerai, kira-kira setengah jam kemudian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi bertemu tiga individu yang memaklumkan mereka terdengar suara seorang lelaki meminta pertolongan dari arah gaung pada jarak kira-kira 15 hingga 20 meter dari tebing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata pasukan bomba cuba memanggil mangsa, namun tiada tindak balas sebelum anggota turun ke dalam gaung menggunakan sistem tali untuk melakukan pemeriksaan.
Mangsa kemudian berjaya ditemukan dalam keadaan selamat pada jarak kira-kira 20 meter dari tebing gaung.
“Mangsa memaklumkan dia mendaki Gunung Jerai secara bersendirian pada Ahad kira-kira 4 petang sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung. Mangsa tidak dapat menghubungi sesiapa bagi mendapatkan bantuan kerana semua barangan peribadinya hilang semasa kejadian,” katanya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan stabil sebelum diserahkan kepada polis untuk diambil keterangan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk pemeriksaan lanjut manakala operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 11.36 malam,” katanya.
-- BERNAMA