SEPANG: Tiada sebarang kes penipuan pakej haji direkodkan sepanjang musim haji tahun ini hasil pemantauan bersepadu yang dilaksanakan Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta platform media sosial bagi membanteras sindiket penipuan yang menyasarkan bakal jemaah haji.
“Alhamdulillah. Inilah yang kita lakukan bersama Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa. Iaitu, kita memantau secara fizikal di lapangan terbang di Kuala Lumpur untuk mengelakkan penipuan.
“Kita juga memantau di media sosial. Dan buktinya, kejayaan pada tahun ini, alhamdulillah, tiada kes penipuan. Tiada kes, termasuk kes penipuan pakej haji.
“Dan ini menunjukkan keberkesanannya dan kita bersyukur," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Terakhir 1447H/2026M di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan aspek pemantauan turut diperketat bagi mengelakkan penyalahgunaan atau penipuan dalam urusan badal haji.