NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menandatangani tiga pengisytiharan bagi mengenakan tarif tambahan 50 peratus terhadap barangan tertentu dari Kanada, dengan mendakwa negara itu mengamalkan diskriminasi terhadap perdagangan AS, lapor Xinhua.
Duti ad valorem tambahan sebanyak 50 peratus terhadap produk tenusu tertentu, minuman beralkohol, kenderaan bermotor dan barangan berkaitan akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam Waktu Timur (0401 GMT), 19 Ogos, menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang White House.
Produk tenaga, potash, ikan dan mineral kritikal dikecualikan daripada tarif itu.
Dalam pengisytiharan berkaitan kenderaan bermotor dan produk berkaitan, Trump berkata, Kanada sejak 9 April 2025 mengekalkan tarif 25 peratus terhadap import kenderaan bermotor AS yang tidak layak menerima layanan keutamaan bebas duti di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Kanada turut mengekalkan kuota kadar tarif terhadap kenderaan bermotor AS yang layak menerima layanan keutamaan bebas duti di bawah USMCA.
Susulan pelaksanaan langkah tarif itu, import kenderaan bermotor dari AS oleh Kanada merosot kira-kira 22 peratus, daripada kira-kira AS$25.9 bilion antara April 2024 hingga Mac 2025 kepada sekitar AS$20.3 bilion dalam tempoh sama pada 2025 hingga 2026, menurut pengisytiharan berkenaan.
“Kanada hanya mengenakan skim tarif itu terhadap kenderaan bermotor yang berasal dari AS,” kata Trump, sambil mendakwa dasar tarif Kanada mendiskriminasi perdagangan AS dan meletakkan perniagaan Amerika pada kedudukan kurang menguntungkan berbanding perniagaan dari negara lain.
Pada awal Julai, AS memutuskan untuk tidak memperbaharui USMCA semasa semakan bersama mandatori enam tahun perjanjian itu.
Perjanjian perdagangan berkenaan kini akan tertakluk kepada semakan tahunan, yang mungkin berterusan sehingga 2036, melainkan ketiga-tiga pihak bersetuju untuk melanjutkannya.
-- BERNAMA-XINHUA