KINSHASA: Angka kematian akibat wabak Ebola terbaharu di Republik Demokratik Congo (DR Congo) telah melebihi 500 orang, menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Ahad, lapor Xinhua.
Menurut laporan itu, negara berkenaan merekodkan 1,561 kes disahkan, termasuk 506 kematian.
Seramai 254 pesakit telah sembuh, manakala 628 lagi pesakit yang disahkan dijangkiti kini menjalani pengasingan atau menerima rawatan di hospital.
Pihak berkuasa turut mengenal pasti 354 kes disyaki, termasuk 110 kematian.
Laporan itu menyatakan wabak berkenaan setakat ini telah menjejaskan 36 zon kesihatan di tiga wilayah.
Kes mingguan yang disahkan terus meningkat. Minggu epidemiologi ke-25 dan ke-26 merekodkan jumlah kes tertinggi sejak wabak itu bermula, dengan masing-masing mencatatkan lebih 300 kes disahkan, sekali gus menunjukkan penularan berterusan dalam komuniti.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memaklumkan bahawa satu ujian klinikal telah mula mendaftarkan pesakit di DR Congo bagi menilai potensi rawatan untuk penyakit Ebola yang disebabkan oleh virus Ebola Bundibugyo, yang ketika ini masih belum mempunyai vaksin yang diluluskan atau rawatan khusus.
Menurut laporan itu, ujian klinikal berkenaan telah dimulakan di pusat rawatan Ebola CME (Pusat Perubatan Evangelikal) di zon kesihatan Rwampara di Wilayah Ituri, yang merupakan pusat penularan wabak berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA