KYIV: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala 24 lagi cedera selepas Rusia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv, awal pagi Isnin.
Menurut Ketua Pentadbiran Tentera Bandar Kyiv, Tymur Tkachenko, beberapa letupan kedengaran di sekitar bandar ketika sistem pertahanan udara Ukraine berusaha memintas serangan dron Rusia.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat bangunan kediaman di daerah bersejarah Podilskyi dilaporkan terkena serangan.
Serangan terbaharu itu mencetuskan kerosakan di beberapa kawasan bandar, manakala operasi menyelamat dan penilaian kerosakan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Kyiv terus menjadi sasaran serangan udara Rusia ketika konflik antara kedua-dua negara masih berlarutan.