Skip to main content

Malaysia

Tengku Zafrul sahkan Muhyiddin keluar surat cadangan lantik 54 kontraktor Jana Wibawa

Sumber: BERNAMA
Tengku Zafrul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan surat mencadangkan pelantikan 54 kontraktor bagi melaksanakan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus. 

Tengku Zafrul berkata surat bertajuk Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina) itu bertarikh 13 Nov 2020, iaitu pada hari yang sama Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. 

"Saya sahkan tarikh surat ini sama dengan tarikh Mesyuarat Jemaah Menteri di mana Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan ke-11 itu turut mengesahkan surat berkenaan dikeluarkan oleh Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri kerana dokumen tersebut mengandungi tandatangan beliau pada muka surat ketiga, selain arahan supaya Kementerian Kewangan segera mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan.

"Saya mengenali tandatangan ini adalah milik beliau kerana saya biasa menerima minit dan surat daripada Tan Sri Muhyiddin. Sekiranya saya tidak menerima surat bertarikh 13 Nov itu, saya tidak akan mengambil tindakan susulan," katanya.

Tengku Zafrul berkata surat bertarikh 13 Nov itu adalah surat cadangan dikeluarkan Muhyiddin kepada beliau untuk melantik 54 syarikat secara rundingan terus bagi melaksanakan projek-projek yang telah ditentukan.

Beliau berkata pelantikan secara rundingan terus bermaksud projek dianugerahkan terus kepada syarikat yang disenaraikan tanpa melalui proses tender dan persaingan tawaran harga dalam kalangan kontraktor lain.

"Berkenaan senarai 54 syarikat berserta agihan projek dalam surat ini, saya tidak tahu bagaimana Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek untuk setiap syarikat.

“Saya juga sahkan syarikat-syarikat dalam dokumen ini disenaraikan oleh PMO dan bukannya daripada saya dan juga Kementerian Kewangan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada syarikat yang disenaraikan itu mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan Muhyiddin kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya.

Tengku Zafrul juga berkata Muhyiddin tidak pernah memaklumkan bahawa beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan itu.

“Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada 54 syarikat yang disenaraikan dalam surat ini. Saya juga tidak mempunyai pengetahuan sama ada syarikat-syarikat tersebut pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik," katanya.

Tengku Zafrul berkata beliau juga tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada Perdana Menteri mempunyai kuasa melantik mana-mana syarikat bagi menjalankan projek kerajaan, Tengku Zafrul menjawab : "Tidak ada."

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement