KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka melengkapkan penilaian teknikal terhadap sistem peluru berpandu antikapal baharu bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) dari Norway menjelang akhir bulan ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, TLDM kini sedang giat menjalankan kajian dan penilaian terhadap beberapa sistem surface-to-surface missile (SSM) yang berpotensi menggantikan sistem NSM keluaran Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) itu.
Beliau berkata, beberapa pengeluar peralatan asal (OEM) dari beberapa negara dikenal pasti sebagai pembekal berpotensi, dengan semua cadangan dan tawaran akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan keperluan operasi TLDM.
"Penilaian itu meliputi beberapa aspek penting, antaranya keupayaan sistem untuk disepadukan dengan Combat Management System (CMS) kapal Littoral Combat Ship (LCS), tempoh penghantaran, kos keseluruhan perolehan serta tahap teknologi dan keupayaan operasi yang setanding atau lebih baik daripada sistem NSM," katanya pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.
Mohamed Khaled berkata, sekiranya proses berjalan lancar, penilaian teknikal di peringkat TLDM dan Kementerian Pertahanan dijangka selesai pada akhir Julai sebelum dibawa ke peringkat penilaian seterusnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan kekal komited membina keupayaan pertahanan negara yang lebih berdaya tahan dan berdikari bagi memastikan kesiapsiagaan angkatan tentera terus diperkukuh.
Jelas beliau, isu dihadapi dengan Norway mengingatkan Malaysia kebergantungan yang terlalu tinggi kepada rantaian bekalan luar negara membawa risiko strategik yang besar.
"Justeru, penyelesaian jangka panjang kepada cabaran seperti ini bukan sekadar mencari misil pengganti.
"Tetapi ia turut menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada sumber serta teknologi asing.
"Kerana akhirnya, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada aset yang dibeli, tetapi juga kepada kemampuan negara menguasai teknologi, membangunkan kepakaran tempatan," ujarnya.