KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam proses membangunkan mekanisme penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi, termasuk melalui penggunaan kad pengenalan baharu yang dilengkapi ciri kod QR.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh, berkata pelaksanaan penggunaan MyKad ketika ini berdepan kekangan kerana memerlukan peranti khas yang boleh membaca maklumat pada kad pengenalan.
Menurut beliau, peranti sedia ada hanya digunakan untuk penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sekali gus tidak sesuai digunakan oleh rakyat Malaysia untuk membeli minyak masak peket bersubsidi.
"Untuk menggunakan MyKad bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi, kita memerlukan satu peranti yang boleh membaca MyKad. Peranti yang digunakan sekarang hanya dikhususkan kepada penerima SARA dan STR, jadi ia tidak boleh digunakan oleh orang ramai yang bukan penerima bantuan tersebut," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah), yang ingin tahu mengenai status penggunaan MYKad bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi, selain penggunaan aplikasi eCOSS .
Mengulas lanjut, Fuziah berkata kementerian kini sedang mengadakan libat urus secara berterusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta pihak peruncit bagi merealisasikan pelaksanaan sistem berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kementerian masih memerlukan data yang lebih lengkap mengenai penggunaan kaedah manual dalam pembelian minyak masak bersubsidi, khususnya melibatkan warga emas di luar bandar.
Menjawab soalan asal Kee Chin pula, Fuziah menegaskan warga emas yang tidak memiliki peranti atau berada di luar bandar dibenarkan untuk membeli bahan asas itu secara manual.
Ujarnya lagi, seramai 5.261 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan aplikasi mudah alih eCOSS setakat 3 Julai lalu.
Melalui sistem berkenaan, Fuziah memaklumkan purata sebanyak 18 juta transaksi pembelian minyak masak peket bersubsidi direkodkan setiap bulan.