Skip to main content

Dunia

Kekayaan bilionair Rusia susut hampir AS$2 bilion sejak awal tahun - BBI

81694412465_USDollar.jpg
Indeks itu dikira berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat yang dimiliki oleh bilionair. - Gambar hiasan

MOSCOW: Jumlah kekayaan gabungan usahawan terkaya Rusia susut sebanyak AS$1.932 bilion sejak awal tahun ini, menurut pengiraan RIA Novosti berdasarkan data Bloomberg Billionaires Index (BBI) yang diterbitkan pada Rabu.

Indeks itu dikira berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat yang dimiliki oleh bilionair. Bagi sesetengah syarikat, pengiraan dibuat berdasarkan nisbah permodalan pasaran kepada EBITDA atau nisbah harga kepada pendapatan (P/E).

BBI menyenaraikan 500 individu terkaya di dunia dan ketika ini merangkumi 20 warganegara Rusia dengan jumlah kekayaan keseluruhan sebanyak AS$297.15 bilion setakat 1 Julai.

Elon Musk kekal sebagai individu terkaya dunia dengan kekayaannya meningkat sebanyak AS$391 bilion tahun ini kepada AS$1.01 trilion. Pengasas bersama Google, Larry Page dan Sergey Brin, masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga selepas kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$32.2 bilion kepada AS$301 bilion dan AS$29.9 bilion kepada AS$280 bilion.

Pengasas Amazon Jeff Bezos berada di kedudukan keempat dengan kekayaan AS$262 bilion, meningkat AS$8.42 bilion. Pengasas Dell Technologies Michael Dell melengkapkan kelompok lima individu terkaya dengan kekayaan AS$217 bilion, meningkat AS$77.1 bilion.

Pengasas bersama Oracle Larry Ellison, yang berada di tangga kelima bulan lepas, jatuh ke kedudukan keenam selepas kekayaannya susut sebanyak AS$44.9 bilion kepada AS$202 bilion.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement