Skip to main content

Dunia

Kedutaan Singapura kerjasama dengan Indonesia kenal pasti dua mayat ditemukan di Gunung Dukono

Basarnas via AP
Pihak Basarnas Indonesia bersama penduduk tempatan membantu proses membawa turun mangsa letusan Gunung Dukono. - Gambar Basarnas via AP

SINGAPURA: Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti dua mayat yang ditemukan di kawasan Gunung Dukono, yang dipercayai warga Singapura, menurut Kementerian Luar (MFA).

Dalam satu kenyataan pada Ahad, MFA memaklumkan, pegawai-pegawai kedutaan juga sedang berhubung rapat dengan keluarga mangsa yang terlibat bagi memudahkan proses pengecaman dan akan terus menghulurkan bantuan konsular.

"Pihak berkuasa Indonesia telah memaklumkan kepada pegawai dari Kedutaan Singapura di Jakarta bahawa mereka telah menemukan dua mayat dari Gunung Dukono, yang dipercayai merupakan warga Singapura yang dilaporkan hilang.

"MFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia, terutamanya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada lebih 150 anggota atas usaha mereka dalam keadaan yang sangat sukar dan berbahaya," menurut kenyataan itu.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, mayat kesemua tiga pendaki yang terkorban dalam letusan Gunung Dukono di timur Indonesia telah ditemukan, sekali gus menamatkan secara rasmi operasi SAR pada Ahad.

Gunung Dukono, yang terletak di bahagian utara Pulau Halmahera dalam Wilayah Maluku Utara, meletus pada pagi Jumaat, mengorbankan tiga individu manakala 17 yang lain, terdiri daripada tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia, berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video