Skip to main content

Dunia

KDN perkukuh komitmen Malaysia di pentas global tangani ancaman keganasan

MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN DAN PENDEKATAN HOLISTIK MENANGANI EKSTREMISME DI PBB NEW YORK, 30 Jun –Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited memperkukuh keamanan sejagat terus mendapat pengiktirafan apabila delegasi KDN diberi penghormatan memainkan peranan penting dalam beberapa platform strategik sempena Fourth United Nations High-Level Conference on Counter-Terrorism di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York._FB Kementerian Dalam Negeri
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman turut menyampaikan kenyataan intervensi rasmi negara dalam Sesi III: Landskap Ancaman Keganasan Global. - Foto Facebook KDN

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh komitmen Malaysia di pentas global menerusi penglibatan aktif delegasi negara ke Persidangan Peringkat Tertinggi Mengenai Menangani Keganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-4 di Ibu Pejabat PBB, New York.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman turut menyampaikan kenyataan intervensi rasmi negara dalam Sesi III: Landskap Ancaman Keganasan Global.

“Dalam sesi itu, Abdul Halim dengan tegas mengutarakan pandangan strategik Malaysia mengenai dinamika ancaman keselamatan masa kini.

“Langkah ini bukan sahaja menonjolkan kredibiliti KDN malah membuktikan peranan Malaysia dalam membawa naratif keselamatan negara yang inklusif, progresif dan selari dengan prinsip Malaysia MADANI di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Abdul Halim turut menyampaikan Kenyataan Rasmi Negara di Dewan Perhimpunan Agung, Ibu Pejabat PBB, New York semalam, yang bersidang di bawah Item Agenda 118: Laporan Setiausaha Agung PBB mengenai Strategi Menangani Keganasan Global Ke-9.

“Sesi itu menyaksikan Malaysia menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyokong usaha multilateral membanteras ekstremisme.

“Di platform tertinggi ini, beliau menggariskan pendekatan holistik negara, menyelaraskan strategi keselamatan domestik dengan kerangka global serta menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa berpaksikan keadilan dan keamanan sejagat demi memastikan keberkesanan strategi pembasmian keganasan jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

KDN turut memaklumkan Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN Datuk Zulkifli Abidin dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN Elina Roslim turut berkongsi kepakaran dalam Sesi Acara Sampingan Ke-16 sebagai ahli panel global.

Bertemakan "Localized and Whole-of-Society Approaches in Preventing and Countering Violent Extremism", kedua-duanya membentangkan kejayaan modul praktikal Malaysia dalam membina daya tahan belia, memperkukuh perkongsian komuniti serta proses reintegrasi masyarakat. 

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin keselamatan dunia bagi memperkasakan kepimpinan strategik dan pendekatan pelbagai pihak demi masa depan yang bebas daripada ancaman keganasan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement