CARACAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berjaya ditemukan masih hidup dan diselamatkan daripada timbunan runtuhan enam hari selepas gempa bumi dahsyat melanda Venezuela, dalam detik yang disifatkan sebagai sinar harapan di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Kanak-kanak itu, yang dikenali sebagai Klieber Moran, ditemui oleh pasukan penyelamat Jordan di negeri La Guaira, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda negara Amerika Selatan itu minggu lalu.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan anggota penyelamat bersorak kegembiraan ketika Klieber dikeluarkan dari celah runtuhan bangunan dan dibawa ke tempat selamat.
Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, menyifatkan penyelamatan tersebut sebagai saat yang membawa harapan kepada rakyat negara itu yang masih berdepan kesan bencana besar berkenaan.
Menurut Jabatan Pertahanan Awam Jordan, Klieber diberikan rawatan kecemasan di lokasi sebelum dibawa ke hospital.
Keadaannya dilaporkan stabil dengan tanda-tanda vital yang baik.
Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez, berkata kanak-kanak itu kini menerima rawatan lanjut di ibu negara, Caracas.
Penyelamatan Klieber dianggap luar biasa kerana ia berlaku selepas tempoh kritikal tiga hari pertama pascagempa, yang lazimnya dianggap sebagai tempoh terbaik untuk menemukan mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.
Setakat ini, jumlah korban akibat gempa bumi itu meningkat kepada 1,943 orang, manakala lebih 10,000 mangsa cedera dan puluhan ribu lagi masih belum dapat dikesan.
Berdasarkan penilaian awal menggunakan data satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), kira-kira 58,870 bangunan dipercayai rosak atau musnah akibat gegaran kuat tersebut.
La Guaira kekal sebagai antara kawasan paling terjejas, dengan ramai penduduk tempatan terpaksa menjalankan usaha mencari dan menyelamat secara sendiri berikutan kerosakan teruk terhadap infrastruktur dan kemudahan awam.
Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) memberi amaran bahawa kekurangan makanan semakin meluas, manakala perkhidmatan asas dan rangkaian komunikasi di kawasan terjejas sebahagian besarnya telah terputus.
“Ketegangan dalam komuniti semakin meningkat kerana akses kepada bantuan masih terhad,” menurut kenyataan UNHCR.
Seorang peniaga berusia 18 tahun dari La Guaira, Daniela Armas, berkata sebahagian bantuan memang telah diagihkan tetapi keadaan menjadi semakin sukar.
"Ada kalanya orang sanggup berebut sehingga hampir mencetuskan pergaduhan demi mendapatkan makanan," katanya.
UNHCR menganggarkan sekurang-kurangnya AS$15 juta (RM61.3 juta) diperlukan bagi menyediakan perlindungan, barangan bantuan asas serta tempat perlindungan sementara kepada 30,000 mangsa gempa bumi dalam tempoh enam bulan akan datang.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa sistem kesihatan Venezuela kini berada di bawah tekanan yang sangat tinggi.
Jurucakap WHO, Christian Lindmeier, berkata risiko penularan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti campak dan difteria semakin meningkat berikutan kadar vaksinasi yang rendah.
Rodríguez berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pasukan tempatan serta antarabangsa, sambil menegaskan bahawa penemuan Klieber membuktikan masih ada harapan untuk menemukan mangsa lain yang terselamat.
Pasukan penyelamat dari Amerika Syarikat, Mexico dan puluhan negara lain terus menjalankan operasi menggunakan anjing pengesan serta peralatan berat bagi mencari mangsa yang masih terperangkap.
Dalam perkembangan berkaitan, bantuan antarabangsa mula tiba di Venezuela, termasuk penghantaran 47 tan bekalan kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang merangkumi kit kesihatan kecemasan, keperluan kelahiran selamat, penjagaan bayi baru lahir dan pencegahan penyakit.
Pada masa sama, ribuan keluarga mula menguruskan pengebumian ahli keluarga yang terkorban, manakala ramai lagi masih menunggu pengesahan nasib orang tersayang yang dipercayai maut dalam tragedi tersebut.
Di sebuah bilik mayat sementara di pelabuhan La Guaira, Wilker Molalla berkata beliau sedang menunggu untuk mengenal pasti mayat kakaknya, anak-anaknya serta anak-anak saudaranya.
“Dalam keluarga saya ada 11 orang. Hanya dua daripada kami terselamat kerana ketika itu kami berada di tempat kerja,” katanya.