OTTAWA: Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) pada Ahad mengumumkan pelaksanaan langkah sempadan sementara baharu bagi mengurangkan risiko penyakit Ebola memasuki dan merebak di negara itu, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan PHAC, berkuat kuasa Isnin, mana-mana warga asing yang berada di Republik Demokratik Congo dalam tempoh 21 hari lalu dilarang memasuki Kanada.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kesihatan awam terhadap rakyat Kanada serta meningkatkan keberkesanan dan kemampanan langkah kawalan sempadan dalam mengendalikan kemasukan pelancong dengan selamat, termasuk petugas kemanusiaan yang pulang ke negara itu.
Tiada perubahan terhadap peraturan bagi warganegara Kanada, penduduk tetap dan individu yang berdaftar di bawah Akta India Kanada yang berada di Republik Demokratik Congo, Uganda atau Sudan Selatan dalam tempoh 21 hari lalu.
Mereka masih dibenarkan memasuki Kanada, namun perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba dan dikuarantin selama 21 hari.
Syarat itu, bersama semua langkah lain di bawah Perintah dalam Majlis terdahulu, akan terus berkuat kuasa sehingga 29 Ogos 2026.
PHAC berkata tiada kes Ebola melibatkan individu yang memasuki Kanada dari luar negara dilaporkan setakat ini.
-- BERNAMA-XINHUA