HEBRON: Jenazah seorang bayi lelaki Palestin berusia tujuh bulan yang maut akibat tembakan selamat dikebumikan dalam suasana pilu di bandar Hebron, Tebing Barat, semalam.
Ratusan penduduk tempatan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Sam Aby Haykal, yang terkorban selepas kenderaan dinaiki bersama keluarganya ditembak dalam satu insiden pada malam Jumaat.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dalam kejadian tersebut.
Insiden di kawasan Tel Rumeida itu turut mencederakan ibu bapa mangsa, dengan ibunya masih menerima rawatan di hospital manakala bapanya mengalami kecederaan di tangan.
Bapa mangsa menyifatkan kejadian itu serius dan menolak dakwaan bahawa tembakan dilepaskan secara tidak sengaja.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan berasingan memaklumkan tembakan dilepaskan selepas anggota mengesan kemungkinan ancaman daripada kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati individu di dalam kenderaan berkenaan merupakan orang awam.
Insiden itu berlaku di tengah peningkatan ketegangan di Tebing Barat, dengan laporan menunjukkan pertambahan korban dalam kalangan orang awam sejak kebelakangan ini.