BAGHDAD: Iraq dan Syria menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membina talian paip eksport minyak mentah yang menghubungkan Iraq dengan pantai Mediterranean Syria, menurut pengumuman kerajaan Iraq pada Sabtu, lapor Xinhua.
Kementerian Minyak Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan projek itu merupakan sebahagian daripada visi strategik negara untuk mempelbagaikan laluan eksport, memperkukuh infrastruktur tenaga dan meningkatkan keselamatan tenaga serantau.
Menurut kementerian itu, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat (AS) Chevron; syarikat penggerudian berpangkalan di Switzerland, Transocean; serta syarikat perkhidmatan pembinaan antarabangsa berpangkalan di Qatar, Urbacon Trading and Contracting.
Kapasiti akhir talian paip itu akan ditentukan dalam fasa kajian teknikal dan kejuruteraan yang akan datang, menurut kenyataan itu.
Projek berkenaan dijangka dapat meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala, membuka peluang pelaburan baharu serta mewujudkan koridor strategik bagi eksport minyak mentah Iraq ke pasaran global.
Perjanjian itu dimeterai ketika Iraq berusaha memperluas saluran eksport minyaknya susulan gangguan di Selat Hormuz akibat konflik antara AS dan Iran yang telah menjejaskan hasil minyak negara itu dengan ketara.
Ekonomi Iraq sangat bergantung kepada eksport minyak mentah, yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada hasil fiskal negara.
-- BERNAMA-XINHUA