Skip to main content

Dunia

Iran mahu kenakan fi perkhidmatan dalam rundingan Selat Hormuz

FILE PHOTO: File Photo: Vessels at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, July 21, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo/File Photo
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan utama yang menghubungkan Teluk Arab dengan Laut Arab dan menjadi nadi kepada perdagangan minyak global. - Foto fail/REUTERS

TEHRAN: Iran dilaporkan terus bertegas mahu mengenakan fi perkhidmatan bagi penggunaan Selat Hormuz meskipun rundingan diplomatik yang dikendalikan Oman mengenai pengurusan laluan perkapalan strategik itu menunjukkan perkembangan positif.

Menurut laporan, delegasi Oman yang berkunjung ke Tehran telah mengadakan perbincangan dengan pihak Iran bagi mencari mekanisme pengurusan masa depan Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan penghantaran minyak paling penting di dunia.

Walaupun terdapat kemajuan dalam usaha diplomatik antara Iran dan Amerika Syarikat menerusi perantaraan Oman, Tehran dilaporkan masih belum mengubah pendiriannya berhubung pengurusan selat berkenaan.

Iran juga dilaporkan terus menolak cadangan penggunaan koridor alternatif yang boleh mengurangkan kepentingan peranan negara itu dalam laluan strategik berkenaan.

Beberapa laporan menyebut Oman telah mencadangkan penubuhan konsortium serantau bagi menguruskan mekanisme operasi di Selat Hormuz tanpa mengenakan sebarang tol atau caj kepada kapal yang melaluinya.

Bagaimanapun, pihak Iran dikatakan masih menegaskan bahawa fi perkhidmatan perlu dikenakan dan mahukan sebarang mekanisme pengurusan baharu dikendalikan di bawah pengawasan Tehran.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan utama yang menghubungkan Teluk Arab dengan Laut Arab dan menjadi nadi kepada perdagangan minyak global.

Sebarang perubahan terhadap kaedah pengurusannya berpotensi memberi kesan besar kepada pasaran tenaga dan perdagangan antarabangsa.

Perbincangan yang diterajui Oman itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengurangkan ketegangan di rantau Teluk dan memastikan kebebasan pelayaran serta kestabilan bekalan tenaga dunia terus terjamin.
 

 

Must Watch Video

Advertisement