NEW YORK: Hujan lebat dan ribut petir melanda New York serta New Jersey pada Sabtu, mencetuskan banjir kilat dan gangguan meluas kepada pengangkutan serta aktiviti harian di kawasan metropolitan terbesar di Amerika Syarikat itu.
Hujan yang turun tanpa henti menyebabkan air melimpah masuk ke beberapa stesen kereta api bawah tanah di New York, selain menenggelami jalan raya di beberapa bahagian bandar raya itu dan kawasan Tri-State yang turut merangkumi Connecticut.
Beberapa pemandu dilaporkan terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing selepas terperangkap dalam air yang naik dengan pantas, manakala pasukan kecemasan dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat di kawasan terjejas.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai meredah air separas lutut, kenderaan dikelilingi banjir dan anggota penyelamat membantu mangsa yang terperangkap.
Di Queens, New York, banjir kilat menenggelamkan sebahagian Lebuhraya Clearview sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas, manakala beberapa jalan di Newark, New Jersey, bertukar seperti sungai selepas sistem perparitan gagal menampung jumlah hujan yang tinggi.
Cuaca buruk itu turut menjejaskan persiapan menjelang perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang berlangsung di East Rutherford, New Jersey, pada Ahad.
Beberapa penerbangan mengalami gangguan, manakala sesi latihan pasukan turut terkesan akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
Selain itu, beberapa acara sukan tempatan terpaksa dibatalkan, termasuk perlawanan besbol antara New York Yankees dan Los Angeles Dodgers di Bronx.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kilat dan menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu serta tidak meredah kawasan yang ditenggelami air.
Bagaimanapun, keadaan cuaca dilaporkan bertambah baik pada Ahad selepas sebuah sistem udara sejuk bergerak keluar dari kawasan itu, membolehkan perlawanan akhir Piala Dunia berlangsung dalam cuaca cerah dan lebih selesa.