ISTANBUL: Kumpulan Houthi di Yaman pada Isnin mengumumkan akan mengenakan "larangan penuh dan menyeluruh" terhadap navigasi maritim Israel di Laut Merah, dengan menyatakan kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di laluan air itu sekali lagi akan menjadi sasaran, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu memaklumkan bahawa ia telah melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan sasaran sensitif Israel di wilayah Jaffa, sambil mendakwa bahawa "serangan peluru berpandu itu mencapai sasarannya dengan tepat."
Menurut kumpulan itu, serangan peluru berpandu ke atas Israel dibuat sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Iran, Palestin, Lubnan, Iraq dan Yaman.
"Kami menegaskan bahawa kami akan membalas sebarang peningkatan ketegangan dengan tindakan yang setimpal, dan operasi ketenteraan kami akan diperhebat selaras dengan perkembangan di lapangan, situasi pertempuran serta seiring dengan paksi jihad dan penentangan," menurut kenyataan itu.
Kumpulan Yaman itu turut menegaskan bahawa mereka "tidak akan berdiam diri dalam menghadapi kepungan tidak adil yang dikenakan terhadap rakyat kami dan rakyat dalam paksi jihad dan penentangan di Palestin, Gaza, Iran, Lubnan dan Iraq."
-- BERNAMA-ANADOLU