JAKARTA: Harga petrol Pertamax RON92 tanpa subsidi di Indonesia meningkat kira-kira 32 peratus kepada Rp16,250 (kira-kira RM3.64) seliter daripada Rp12,300 berkuat kuasa Rabu, sekali gus menandakan kenaikan harga pertama dalam beberapa bulan.
Setiausaha Korporat syarikat tenaga milik kerajaan PT Pertamina Patra Niaga, Roberth MV Dumatubun berkata kenaikan itu turut menyaksikan harga Pertamax Green 95 meningkat kepada Rp17,000 (kira-kira RM3.81) seliter daripada Rp12,900.
Beliau berkata harga Pertalite (RON90) dan Biosolar (CN48) bersubsidi masing-masing kekal tidak berubah pada Rp10,000 dan Rp6,800 seliter.
“Pelarasan harga Pertamax dan Pertamax Green dilaksanakan susulan proses penilaian berdasarkan formula penetapan harga yang ditetapkan kerajaan.
“Harga jualan ditentukan menerusi penyelarasan dengan kerajaan selaku pengawal selia dan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan bekalan serta pengedaran bahan api berkualiti kepada orang ramai terus terjamin,” katanya dalam satu kenyataan lewat Selasa.
Roberth berkata pelarasan itu dilaksanakan menerusi mekanisme penilaian berkala Pertamina dengan mengambil kira perkembangan harga minyak global dan keadaan pasaran semasa.
Beliau berkata pelarasan harga bahan api tanpa subsidi dilaksanakan mengikut peraturan semasa dan merupakan sebahagian daripada usaha mengekalkan keseimbangan antara kemampanan perniagaan, kualiti perkhidmatan dan kepastian bekalan tenaga.
“Kami memastikan bekalan Pertamax dan Pertamax Green kekal mencukupi serta tersedia di seluruh rangkaian stesen minyak Pertamina,” katanya.
Roberth berkata harga bahan api tanpa subsidi lain kekal tidak berubah, dengan Pertamax Turbo (RON98) kekal pada Rp20,750 seliter, Dexlite (CN51) pada Rp23,000 seliter dan Pertamina Dex (CN53) pada Rp24,800 seliter.
-- BERNAMA