MIAMI: Seorang hakim di Florida memerintahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyerahkan rekod kewangan yang diminta oleh BBC dalam kes saman fitnah bernilai AS$10 bilion (kira-kira RM41 bilion) yang difailkannya terhadap penyiar Britain itu.
Keputusan itu dibuat pada pendengaran pertama kes berkenaan yang berpunca daripada sebuah dokumentari Panorama terbitan BBC, yang didakwa menggabungkan beberapa bahagian ucapan Trump pada 6 Januari 2021 sehingga memberi gambaran bahawa beliau secara langsung menggesa tindakan ganas semasa rusuhan di Bangunan Capitol AS.
Hakim Majistret AS, Enjolique Lett, membenarkan permohonan pasukan guaman BBC untuk mendapatkan dokumen kewangan yang dipegang oleh Donald J. Trump Revocable Trust, dana amanah yang diwujudkan Trump bagi menguruskan perniagaannya ketika memegang jawatan presiden.
Keputusan itu boleh dirayu, namun ia dilihat sebagai kemenangan awal bagi BBC yang cuba mendapatkan bukti bagi menilai dakwaan Trump bahawa dokumentari berkenaan menyebabkan kerugian kewangan dan menjejaskan nilai perniagaannya.
Menurut laporan, keputusan tersebut berpotensi membuka akses kepada rekod kewangan melibatkan ratusan syarikat yang dimiliki melalui dana amanah keluarga Trump.
Dalam prosiding itu, peguam Trump, Alejandro Brito, berhujah bahawa tuntutan saman tersebut kini lebih tertumpu kepada kerosakan reputasi dan bukan lagi kerugian ekonomi atau nilai perniagaan.
Beliau berkata pendekatan kes itu telah “berkembang” sejak ia difailkan.
Bagaimanapun, pasukan guaman BBC menegaskan bahawa reputasi Trump tidak boleh dipisahkan daripada operasi perniagaannya.
Mereka berhujah bahawa dakwaan kerugian ekonomi yang terkandung dalam saman asal menjadikan maklumat kewangan relevan kepada kes berkenaan.
Hakim Lett turut membuat keputusan bercampur berhubung permintaan BBC untuk mendapatkan dokumen berkaitan insiden rusuhan Capitol.
Beliau membenarkan siasatan terhadap persepsi dan tafsiran orang ramai terhadap kenyataan Trump pada hari kejadian, namun tidak membenarkan kes itu menjadi platform untuk mengulangi keseluruhan perdebatan berhubung peristiwa 6 Januari.
Perbicaraan kini memasuki fasa 'penemuan bukti' (discovery), iaitu proses yang memerlukan kedua-dua pihak menyerahkan dokumen serta rekod yang boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.
BBC mendakwa ia telah menyerahkan kira-kira 87,000 halaman dokumen, manakala pasukan Trump hanya mengemukakan ratusan halaman bahan yang sebahagian besarnya terdiri daripada laporan berita dan maklumat yang diperoleh daripada internet.
Sementara itu, BBC turut memohon supaya keseluruhan kes digugurkan dengan alasan dokumentari berkenaan tidak disiarkan di AS.
Mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut.