JAKARTA: Gempa bumi bermagnitud 6.7 menggegarkan kawasan Palu di Sulawesi Tengah pada Selasa pagi, menyebabkan kerosakan kepada bangunan dan infrastruktur di kawasan terjejas.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 10.27 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak kira-kira 42 kilometer (km) di tenggara Palu.
Menurut data yang disiarkan di laman sesawang BMKG, gempa bumi itu diklasifikasikan sebagai gempa tektonik cetek dengan kedalaman 10km serta tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
BMKG berkata gegaran dirasai kuat di Palu, Sigi dan Donggala, manakala gegaran lebih ringan dilaporkan di beberapa kawasan lain di Sulawesi Tengah termasuk Poso dan Parigi Moutong.
Data pemantauan agensi itu kemudian merekodkan gempa susulan bermagnitud 5.2 pada 11.16 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak kira-kira 44km di tenggara Palu pada kedalaman 10km.
Sementara itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia memaklumkan laporan awal menunjukkan kerosakan pada beberapa bangunan di Bandaraya Palu, Kabupaten Sigi dan Kabupaten Parigi Moutong, namun butiran mengenai jumlah struktur terjejas serta tahap kerosakan masih dalam proses pengesahan.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB Abdul Muhari berkata penilaian turut dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat kemalangan jiwa atau penduduk dipindahkan susulan gempa bumi itu.
Beliau berkata BMKG merekodkan 13 gempa susulan dengan magnitud berbeza di sekitar pusat gempa setakat 12.17 tengah hari waktu tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sulawesi Tengah bersama pasukan tindak balas kecemasan dan operasi di Sigi serta Parigi Moutong telah menjalankan penilaian pantas bagi menentukan kesan keseluruhan gempa bumi itu.
Agensi itu menggesa penduduk supaya bertenang, mengelakkan maklumat tidak disahkan serta mematuhi arahan pihak berkuasa, di samping terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan dan mengelakkan bangunan yang menunjukkan tanda kerosakan sehingga diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA