ISTANBUL: Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat memperluas skop rangka kerja sekatan blok itu terhadap Iran untuk memasukkan individu dan entiti yang terlibat dalam tindakan mengancam kebebasan pelayaran di Asia Barat, khususnya di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut majlis itu dalam satu kenyataan, rangka kerja undang-undang yang dipinda akan membolehkan blok berkenaan mengenakan langkah-langkah sekatan ke atas pihak yang dikaitkan dengan tindakan Iran "menghalang laluan transit yang sah dan kebebasan pelayaran."
Keputusan itu susulan persetujuan politik yang dicapai oleh menteri luar EU pada mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar pada 21 April.
Menurut EU, tindakan Iran terhadap kapal-kapal yang transit melalui Selat Hormuz adalah "bertentangan dengan undang-undang antarabangsa" dan melanggar "hak yang ditetapkan bagi kedua-dua transit dan laluan lintas damai melalui selat antarabangsa."
Di bawah rangka kerja yang diperluas, EU akan dapat mengenakan larangan perjalanan dan pembekuan aset ke atas individu dan entiti tersenarai.
Mereka yang disekat akan dilarang daripada memasuki atau transit melalui wilayah EU, manakala warga dan syarikat EU juga akan dihalang daripada menyediakan dana atau sumber ekonomi untuk mereka.
Rangka kerja sekatan itu pada asalnya diwujudkan pada Julai 2023 sebagai tindak balas terhadap sokongan ketenteraan Iran untuk perang Rusia menentang Ukraine.
Ia kemudiannya diperluas pada Mei 2024 untuk menangani sokongan Iran terhadap kumpulan bersenjata di rantau Asia Barat dan Laut Merah, serta serangan dron dan peluru berpandu Tehran terhadap Israel pada April 2024.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa yang memuncak terhadap keselamatan maritim di Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak global penting.
Diguna pakai pada 19 Mac, Majlis Eropah menggesa pelaksanaan penuh Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2817 dan menekankan keperluan untuk memastikan keselamatan maritim serta kebebasan pelayaran.
Majlis itu juga mengecam "sebarang tindakan yang mengancam pelayaran atau menghalang kapal daripada memasuki dan keluar dari Selat Hormuz."
-- BERNAMA-ANADOLU