LONDON: Legenda bola sepak England, Sir David Beckham muncul sebagai atlet pertama United Kingdom (UK) yang memiliki kekayaan mencecah status bilionair, menurut senarai tahunan Sunday Times Rich List bagi 350 individu dan keluarga terkaya negara itu.
Beckham bersama isterinya, Lady Victoria Beckham dianggarkan memiliki kekayaan gabungan sebanyak 1.2 bilion pound, sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok elit individu paling kaya di UK.
Senarai tersebut turut menyaksikan kemunculan sulung dua beradik terkenal kumpulan Oasis, Noel dan Liam Gallagher yang dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar 375 juta pound.
Hinduja kekal teratas lima tahun berturut-turut
Sementara itu, tempat teratas senarai berkenaan kekal milik Sanjay dan Dheeraj Hinduja, yang menduduki posisi pertama untuk tahun kelima berturut-turut dengan nilai kekayaan mencecah 38 bilion pound.
Kedua-dua mereka menerajui Kumpulan Hinduja yang mempunyai kepentingan perniagaan global merangkumi sektor minyak, gas, perbankan dan pengangkutan.
Antara individu yang mencatat peningkatan terbesar dalam senarai tahun ini ialah pengasas bersama syarikat teknologi kewangan Revolut, Nik Storonsky serta usahawan dagangan, Alex Gerko.
Berikut senarai 10 individu terkaya UK:
- Sanjay dan Dheeraj Hinduja dan keluarga (38 bilion pound)
- David dan Simon Reuben dan keluarga (27.9 bilion pound)
- Sir Leonard Blavatnik (26.8 bilion pound)
- Idan Ofer (24.4 bilion pound)
- Keluarga Weston (18.9 bilion pound)
- Christopher Harborne (18.1 bilion pound)
- Nik Storonsky (16.4 bilion pound)
- Alex Gerko (16 bilion pound)
- Sir Jim Ratcliffe (15.1 bilion pound)
- Igor dan Dmitry Bukhman (14.2 bilion pound)
157 bilionair di UK, jumlah menurun
Menurut laporan itu, kini terdapat 157 bilionair di UK, berkurangan sebanyak 20 orang berbanding empat tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, kekayaan Raja Britain, Raja Charles III dilaporkan meningkat sebanyak 40 juta pound kepada 680 juta pound, sekali gus meletakkannya di tangga ke-230 dalam senarai.
Jumlah itu turut mengatasi bekas Perdana Menteri UK, Rishi Sunak dan isterinya, Akshata Murty yang dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar 563 juta pound.
Beckham gandakan kekayaan dalam setahun
Sir David dan Lady Beckham dilaporkan menggandakan kekayaan mereka dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus melonjakkan beliau sebagai atlet pertama UK yang mencapai status bilionair.
Dalam masa sama, antara individu yang mencatat penurunan ketara termasuk pencipta teknologi, Sir James Dyson, yang kini memiliki sekitar 12 bilion pound, susut sebanyak 8.8 bilion pound berbanding tahun sebelumnya.
Pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe pula menyaksikan kekayaannya merosot daripada 17 bilion pound kepada sekitar 15.19 bilion pound.
Wajah baharu dan perhatian politik
Antara nama baharu dalam senarai ialah penganjur festival muzik Glastonbury, Emily Eavis bersama keluarganya dengan kekayaan dianggarkan 400 juta pound.
Turut mencuri tumpuan ialah usahawan Christopher Harborne yang berada di tangga keenam, selain menjadi perhatian selepas dilaporkan menyumbang 5 juta pound kepada tokoh politik Nigel Farage pada 2024.
Nama terkenal terus menghiasi senarai
Beberapa tokoh ternama turut kekal dalam senarai termasuk Sir Elton John, Lord Andrew Lloyd-Webber, Sir Mick Jagger, Keith Richards, J.K. Rowling, Charlotte Tilbury, Sir Brian May dan pelumba Formula Satu, Sir Lewis Hamilton.
Namun, sekurang-kurangnya 15 individu asing yang tersenarai tahun lalu kini dikeluarkan selepas berpindah ke luar UK, manakala hampir satu pertiga warga British dalam senarai itu juga tidak lagi menetap di tanah besar negara berkenaan.
Menurut penyusun senarai, Robert Watts, edisi tahun ini mencerminkan “kisah dua penghijrahan”.
Senarai bawah 40 tahun dan sektor AI
Dalam perkembangan berasingan, petinju Tyson Fury antara yang membuat penampilan sulung dalam senarai 40 individu terkaya bawah usia 40 tahun.
Seramai 34 individu dalam kategori itu merupakan usahawan yang membina kekayaan sendiri, dengan hampir satu pertiga daripadanya berkait dengan syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di London.
Senarai tersebut didahului Duke dan Duchess of Westminster dengan kekayaan sekitar 9.7 bilion pound, manakala pengasas Gymshark, Ben Francis berada di tangga kelima dengan kekayaan dianggarkan 800 juta pound. - Agensi