Skip to main content

Malaysia

Murid alami muntah dan sakit perut, kantin sekolah diarah tutup 14 hari

Kebanyakan murid mengalami gejala seperti muntah, pening dan sakit perut. -- SINAR HARIAN
Kebanyakan murid mengalami gejala seperti muntah, pening dan sakit perut. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial

KAJANG: Kantin sebuah sekolah di dalam daerah Kajang diarahkan tutup selepas tular dakwaan beberapa murid mengalami muntah, pening dan sakit perut, bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan.

Hantaran dimuat naik pemilik akaun @aaira_fififufu mendakwa, kantin sekolah  berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari susulan kejadian itu.

Seorang pengguna Threads yang dipercayai ibu kepada salah seorang murid menggunakan akaun @pagi.baker, berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin dan kini masih dalam siasatan.

Katanya, anak perempuannya antara murid yang bergejala selepas muntah sebanyak tiga kali ketika berada di sekolah.

"Dengan izin Allah, pada waktu malam keadaannya sudah kembali pulih, setakat semalam (Selasa), keadaan dilihat terkawal," ujarnya.

Menurut pemilik akaun terbabit, anaknya memaklumkan lauk sambal daging yang dihidangkan pedas, manakala beberapa komen lain mendakwa lauk itu berbau kurang elok, namun punca sebenar belum diketahui.

Sementara itu, seorang pemilik akaun, @neysahz, tampil mempertahankan tindakan pihak sekolah dengan memaklumkan ibu bapa menerima maklumat secara berterusan melalui kumpulan komunikasi rasmi sekolah.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengeluarkan pelbagai makluman sejak hari kejadian, manakala pihak kesihatan turut hadir menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

Pada masa sama, sekeping notis penutupan premis turut dikongsikan dalam hantaran berkenaan.

Notis itu menyatakan dapur kantin sekolah berkenaan diarahkan ditutup selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Julai ini.

Arahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas alasan premis berada dalam keadaan mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai.

Setakat ini, pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca sebenar kejadian, manakala siasatan masih dijalankan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement