SHANGHAI: China dan Pakistan menggesa pelaksanaan gencatan senjata serta penyambungan semula dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi membantu meredakan ketegangan serta memelihara kestabilan di Asia Barat, lapor Al Jazeera.
Menurut Kementerian Luar China, gesaan itu dibuat susulan pertemuan antara Menteri Luar China, Wang Yi, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, di Shanghai pada Khamis.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan situasi semasa dan menggesa semua pihak yang terlibat menghentikan permusuhan serta kembali ke meja rundingan.
Kementerian itu berkata Wang turut menyeru semua pihak supaya memenuhi komitmen masing-masing dan mematuhi memorandum persefahaman gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.
Beliau berkata keamanan yang dicapai hasil usaha diplomatik sebelum ini tidak seharusnya digagalkan pada saat-saat akhir dan perlu dipertahankan menerusi dialog serta rundingan berterusan.
Gesaan itu dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran kembali memuncak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan Asia Barat dan keselamatan laluan perdagangan strategik di Selat Hormuz.