Skip to main content

Malaysia

Wanita maut, dua termasuk kanak-kanak hilang, jatuh Jambatan Sultan Nazrin Shah

Wanita maut, dua termasuk bayi masih hilang, terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah. Foto JBPM Perak
Menurut Sayani, tindakan pantas bot JBPM berjaya menemui mangsa wanita dalam keadaan terapung sebelum anggota bomba memberi bantuan pernafasan dan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk. - Foto JBPM Perak

IPOH: Seorang wanita maut manakala seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki masih hilang selepas dipercayai terjatuh daripada Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk, dalam dua kejadian berasingan semalam.

Lim Li Yin, 38 tahun, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Bagan Datuk manakala kanak-kanak yang dikenali sebagai Wong Long Hee, 2 tahun, masih hilang setakat malam tadi.

Seorang lagi mangsa yang hilang ialah Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidun berkata, pihaknya menerima maklumat dari pihak polis pada 11.36 pagi yang menyatakan terdapat seorang lelaki dipercayai jatuh dari jambatan.

“Setibanya jentera di lokasi, terdapat sebuah motosikal jenis Modenas Z15 GT milik mangsa berada di bahu jalan di atas jambatan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pos kawalan bomba (PKN) telah dibuka di lokasi kejadian bagi tujuan penyelarasan operasi penyelamatan.

Menurutnya, operasi pencarian di permukaan air menggunakan bot bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibuat dalam radius tiga kilometer dari kawasan mangsa terjatuh bermula pada jam 12.12 tengah hari.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pula tiba pada jam 4.33 petang dan membuat pencarian di permukaan air kerana keadaan arus yang deras tidak membolehkan selaman dibuat.

Dalam perkembangan lain, pada jam 7.15 malam, ketua operasi mendapat makluman dari pihak polis terdapat seorang wanita dewasa bersama dengan seorang kanak-kanak telah terjatuh dari jambatan yang sama.

“Tindakan pantas bot bomba dapat menjumpai mangsa wanita dalam keadaan terapung namun kanak-kanak terlibat tidak ditemui,” ujarnya

Menurut Sayani, anggota bomba telah memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada wanita berkenaan sebelum di hantar ke klinik kesihatan menggunakan ambulans APM.

Bagaimanapun, pihaknya menerima maklumat mangsa wanita tersebut telah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 8.20 malam kerana keadaan cuaca serta faktor keselamatan dan akan disambung jam 8 pagi ini.

Must Watch Video

Advertisement