Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Negeri Sembilan: DUN Labu saksikan pertembungan tiga penjuru, Hanifah pertahan kerusi

PRN NEGERI SEMBILAN PENAMAAN CALON -- AWANI
Dari kiri, Mohamad Hanifah, Ahmad Faez dan Siti Nur Umaira, calon-calon yang aka bertanding di DUN Labu pada PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini. - Foto Astro AWANI

SEREMBAN: Kerusi tumpuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu sah menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.

Penyandang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Hanifah Abu Baker dicabar calon Pakatan Harapan dari PKR iaitu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dan calon Barisan Nasional dari UMNO, Siti Nur Umaira Hasim.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rasah, Mohamad Najib Mustafa mengumumkan ketiga-tiga calon itu layak bertanding selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban, Jalan Yam Tuan, di sini.

Mohamad Hanifah mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN tahun 2023, selepas memperoleh majoriti 1,640 undi.

Beliau menewaskan pencabar PH-PKR iaitu Datuk Ismail Ahmad yang memperoleh 10,021 undi.

DUN Labu mempunyai seramai 32,884 pengundi berdaftar berdasarkan maklumat pilihan raya umum (PRU) DUN Negeri Sembilan ke-16 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026.

Daripada jumlah itu, majoriti terdiri daripada pengundi biasa seramai 32,869 orang, manakala selebihnya melibatkan kategori pengundi polis dan pasangan seramai 15 orang.

Dari segi komposisi jantina, terdapat 16,330 pengundi lelaki dan 16,554 pengundi perempuan, sekali gus menunjukkan taburan pengundi yang hampir seimbang antara kedua-dua kumpulan.

Bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 ini, hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026, selepas proses penamaan calon berlangsung pada 18 Julai 2026.

Must Watch Video

Advertisement