HYDERABAD: Pakistan dan Kuwait pada Sabtu menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang kembali tercetus antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan ketidakstabilan yang lebih meluas di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Luar Kuwait Sheikh Jarrah Jaber Al Ahmad Al Sabah membincangkan situasi terkini itu menerusi perbualan telefon, menurut Kementerian Luar Pakistan dalam hantaran di platform X.
Sheikh Jarrah berkongsi "kebimbangan serius Kuwait berhubung serangan berterusan ke atas wilayahnya serta melahirkan harapan agar semua pihak dapat menahan diri dan Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Dar menggesa agar komitmen gencatan senjata di bawah MoU Islamabad yang ditandatangani Iran dan AS pada 17 Jun dipatuhi, selain mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan.
Beliau turut "menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, menekankan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara serta menegaskan bahawa usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau mesti terus menjadi keutamaan utama," menurut kementerian itu.
Kuwait memaklumkan sebuah lagi loji jana kuasa dan penyahgaraman air miliknya mengalami kerosakan akibat serangan Iran pada Sabtu, susulan serangan sama yang berlaku sehari sebelumnya.
Pertempuran terbaharu itu menyaksikan pelbagai kemudahan infrastruktur di Iran diserang oleh Markas Pemerintahan Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM), dengan Iran memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas dengan cara yang sama terhadap negara serantau yang bersekutu dengan AS.
Iran telah menutup Selat Hormuz kepada perkapalan, manakala tentera AS mengenakan sekatan tentera laut terhadap Iran.
-- BERNAMA