SOOK: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas usaha memperkasakan masyarakat pedalaman dengan kemahiran keselamatan dalam talian bagi membendung ancaman siber termasuk kes penipuan digital.
MCMC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, usaha itu dilaksanakan menerusi penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook yang terletak 148 kilometer dari Kota Kinabalu.
“Pendedahan ini sangat penting bagi meningkatkan tahap literasi digital serta memperkukuh keupayaan komuniti pedalaman untuk mengenal pasti risiko ancaman siber dengan lebih yakin dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Karnival itu dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Program strategik bagi memastikan ruang digital kekal selamat itu mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Pada karnival itu, peserta didedahkan dengan pelbagai topik keselamatan Internet yang kritikal seperti pencegahan penipuan kewangan, perlindungan wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual siber serta amalan e-dagang yang selamat.
MCMC memaklumkan, sebagai usaha memperkukuh kesedaran pada peringkat akar umbi, suruhanjaya itu melantik beberapa individu sebagai “Wira Internet Selamat” dalam kalangan komuniti setempat bagi membantu menyebarkan mesej penggunaan Internet yang selamat.
Pada program itu, Arthur turut meluangkan masa melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sook bagi meninjau pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran digital serta peluang peningkatan ekonomi yang disediakan untuk komuniti setempat.
-- BERNAMA