ISTANBUL: Belanda akan mula menguatkuasakan larangan import dari petempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki bermula 22 Sept ini, kata Menteri Luar Tom Berendsen di Parlimen pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Syarikat yang cuba mengelakkan sekatan itu turut berdepan pendakwaan mulai tarikh berkenaan, menurut penyiar Belanda RTL Nieuws.
Kerajaan Belanda menganggap petempatan di wilayah yang diduduki itu melanggar undang-undang antarabangsa dan memaklumkan bahawa langkah berkenaan bertujuan menghalang perdagangan daripada menyumbang kepada kelangsungan penempatan haram itu.
Import dari petempatan haram itu sebahagian besarnya terdiri daripada hasil pertanian, termasuk avokado, kurma, oren, anggur dan herba segar. Langkah itu turut meliputi produk dari Bukit Golan yang diduduki, sebuah wilayah yang terkenal dengan pengeluaran wain.
Nilai perdagangan tahunan yang melibatkan wilayah berkenaan dianggarkan berjumlah puluhan juta euro, namun nilai sebenarnya sukar ditentukan.
Majoriti ahli Parlimen Belanda telah lama menggesa pelaksanaan larangan import dari petempatan haram Israel, manakala kerajaan terdahulu berjanji pada musim panas tahun lepas untuk mengambil tindakan.
Kerajaan semasa mengumumkan langkah itu pada Mei lepas dan mendapatkan pandangan segera daripada Majlis Negara. Berendsen berkata pandangan itu tidak memerlukan sebarang pindaan terhadap dekri sekatan, sekali gus membolehkan dekri berkenaan berkuat kuasa pada September.
Dasar yang dilaksanakan sejak 2006 bagi menghalang syarikat Belanda daripada menjalankan perniagaan yang menyumbang kepada pembinaan atau penyelenggaraan petempatan itu juga akan terus berkuat kuasa.
Belanda merupakan antara semakin banyak negara Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan sekatan di peringkat nasional ketika negara anggota blok itu masih gagal mencapai kata sepakat mengenai larangan di seluruh EU.
Belgium meluluskan larangan import yang serupa pada 18 Julai, manakala Sepanyol dan Slovenia turut mengambil langkah sama. Parlimen Ireland pula meluluskan larangan seumpamanya pada 15 Julai.
-- BERNAMA-ANADOLU