Skip to main content

Dunia

Bekas Wanita Pertama Perancis Bernadette Chirac meninggal dunia

Bernadette Chirac, formidable former first lady of France, dies at 93
Bernadette dikenali sebagai antara Wanita Pertama paling berpengaruh dalam sejarah moden Perancis susulan pembabitan aktifnya dalam politik tempatan serta pelbagai inisiatif kebajikan. -Gambar fail/AP

PARIS: Bekas Wanita Pertama Perancis, Bernadette Chirac, dilapor meninggal dunia hari ini pada usia 93 tahun.

Mendiang merupakan isteri kepada bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac, yang menerajui negara itu dari 1995 hingga 2007.

Bernadette dikenali sebagai antara figura Wanita Pertama paling menonjol dalam sejarah moden Perancis susulan pembabitan aktifnya dalam politik tempatan serta pelbagai kempen kebajikan berskala besar.

Sepanjang tempoh suaminya berkhidmat di Istana Élysée, beliau meraih populariti menerusi kepimpinannya dalam Fondation Hôpitaux de Paris–Hôpitaux de France, termasuk kempen kutipan derma tahunan Pièces Jaunes bagi menaik taraf wad kanak-kanak di hospital.

Selain itu, beliau turut mencipta sejarah dalam landskap politik Perancis apabila memenangi pilihan raya tempatan dan berkhidmat sebagai ahli majlis daerah di Corrèze selama beberapa dekad.

Sementara itu, siri penghormatan mula dizahirkan oleh pelbagai tokoh politik Perancis, termasuk Presiden Emmanuel Macron, yang menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh berkenaan.

“Sebagai Wanita Pertama, beliau telah mencatatkan namanya dalam sejarah kita di samping Presiden Jacques Chirac, dalam kehidupan masyarakat di Corrèze serta dalam nasib berjuta-juta pesakit hasil komitmen peribadinya.

“Bernadette Chirac telah mengubah begitu banyak nyawa dengan kebijaksanaan dan ketabahan. Seorang wanita berjiwa besar telah pergi, dan seluruh negara berkongsi rasa kesedihan bersama keluarga serta semua yang menghargai beliau,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Keluarga mendiang mengesahkan berita pemergian itu hari ini, namun butiran lanjut termasuk punca kematian dan urusan pengebumian masih belum diumumkan.

 

Must Watch Video

Advertisement