KUALA LUMPUR: ASEAN dan Korea Selatan kini mengorak langkah untuk menterjemahkan Visi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) kepada kerjasama konkrit, dengan para pemimpin dan pakar serantau menggariskan beberapa keutamaan bagi memperkukuh hubungan dalam pelbagai sektor.
Dihoskan oleh Pusat ASEAN-Korea (AKC) semasa Forum Jeju ke-21 pada Jumaat, sesi berkenaan meneliti kaedah untuk memajukan pelan hala tuju yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) 2025, selain mengenal pasti keutamaan bagi melaksanakan Visi CSP berkenaan.
Dalam satu kenyataan, AKC memaklumkan bahawa Visi CSP berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk memperluas kerjasama merentas tonggak ekonomi, politik-keselamatan dan sosiobudaya, di samping mempergiat pertukaran antara rakyat dengan rakyat.
Para peserta turut membincangkan keutamaan pelaksanaan serta implikasi penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN terhadap blok serantau itu serta hubungan ASEAN-ROK.
Naib Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Jesuina Maria Ferreira Gomes menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN sebagai satu peristiwa penting bagi pembangunan nasional serta integrasi serantau yang inklusif.
"Kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang pendidikan, latihan vokasional dan transformasi digital akan meletakkan asas yang kukuh bagi pembangunan mampan Timor-Leste serta integrasi yang berjaya ke dalam proses pembentukan Komuniti ASEAN," katanya menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Duta Filipina ke Korea Selatan, Bernadette Therese C. Fernandez berkata Filipina, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, berharap dapat memainkan peranan aktif dalam memajukan hubungan ASEAN-ROK dan memperkukuh kerjasama serantau.
Bekas Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara di Universiti Kyoto, Prof. Mieno Fumiharu pula berpendapat bahawa kerjasama ekonomi akan terus menjadi asas kepada hubungan ASEAN-ROK.
Beliau berkata usaha memperluas kerjasama dalam bidang sains, teknologi, akademik, penyelidikan bersama dan inovasi akan membantu memacu fasa pertumbuhan yang seterusnya bagi perkongsian itu .
Menurut AKC, para peserta berkongsi pandangan yang sama bahawa kerjasama lebih erat dalam bidang seperti ekonomi digital, pendidikan, inovasi dan pertukaran antara rakyat dengan rakyat akan menjadi kunci utama untuk memajukan perkongsian ASEAN-ROK yang kini memasuki fasa baharu.
Forum berkenaan menandakan tahun kedua berturut-turut AKC menganjurkan satu sesi khas di Forum Jeju.
Menjelang acara itu, pusat berkenaan turut merasmikan sebuah bangku Timor-Leste di sepanjang Laluan Olle ASEAN-Korea sebagai simbolik kepada status negara itu selaku anggota ke-11 ASEAN, sekali gus memperkukuh hubungan antara warga ASEAN dan Korea Selatan.
-- BERNAMA