Skip to main content

Malaysia

AADK seru penglibatan NGO, syarikat korporat bantu pemulihan klien

TASEK GELUGOR, 26 Jun — Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh (dua kanan) dan Pengasas Kelab Motosikal Helang Udara Malaysia Datuk Mohd Efendi Omar (tiga kanan) melihat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat menghiaskan replika motosikal pada Program Ramah Mesra Dan Corporate Responsibility Kelab Motosikal Helang Udara Malaysia di sini hari ini.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ruslin (dua, kanan) dan Pengasas Kelab Motosikal Helang Udara Malaysia Datuk Mohd Efendi Omar (tiga kanan) melihat penghuni PUSPEN Kampung Selamat menghias replika motosikal pada Program Ramah Mesra Dan CSR Kelab Motosikal Helang Udara Malaysia di Tasek Gelugor, 26 Jun 2026. --fotoBERNAMA

TASEK GELUGOR: Lebih banyak pihak khususnya syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru tampil bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha memperkukuh program pemulihan klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata penyalahgunaan dadah merupakan isu sejagat yang memerlukan sokongan seluruh masyarakat dalam menanganinya, dan bukan hanya terletak pada bahu AADK mahupun kerajaan semata-mata.

Beliau berkata sokongan pihak luar amat penting terutama dalam menyediakan bimbingan, motivasi serta peluang kepada klien untuk membina kehidupan baharu selepas keluar daripada pusat berkenaan sekali gus memastikan mereka tidak kembali terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

“Di Puspen, kita sudah ada modul tertentu tetapi yang paling penting apabila mereka keluar nanti… kerana di luar sana adalah berbeza. Justeru, kita galakkan pihak luar, tidak kira korporat mahupun agensi datang bersama kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia bersama Puspen Kampung Selamat di sini semalam.

Ruslin berkata program julung-julung kali bersama kelab motosikal itu merupakan antara contoh terbaik dalam membuka ruang kepada klien Puspen berinteraksi dengan individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan ahli korporat. 

Sementara itu, pengasas Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia Datuk Mohamad Efendi Omar berkata program berkenaan bukan sekadar berkongsi hobi, tetapi juga membuka ruang kepada ahli kelab untuk menyumbang kepada masyarakat secara lebih luas.

Beliau berkata inisiatif itu turut membuktikan peranan NGO dalam membentuk sistem sokongan lebih tersusun agar bekas klien Puspen dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik.

“Kerjasama dengan AADK ini akan berterusan dan kami juga akan menyusun strategi terbaik untuk memastikan bahawa program ini bukan sekadar motivasi sahaja, tetapi melihat bagaimana untuk membuka peluang pekerjaan supaya apabila mereka keluar nanti, mereka dapat tempat yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement