ISTANBUL: ASEAN pada Jumaat secara rasmi mengalu-alukan Sweden, Poland, Romania dan Lithuania sebagai pihak terbaharu menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), lapor Anadolu Ajansi.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro berkata, penyertaan negara-negara berkenaan mencerminkan kerelevanan global perjanjian itu yang semakin meningkat serta peranan blok tersebut dalam menggalakkan orde serantau berasaskan peraturan.
Berucap pada majlis menandatangani perjanjian sempena ulang tahun ke-50 TAC, Lazaro mengucapkan tahniah kepada empat negara Eropah itu dan berkata keputusan mereka untuk menyertainya menunjukkan "keyakinan bersama terhadap prinsip asas yang termaktub dalam perjanjian berkenaan."
“Penyertaan negara pejanji terbaharu kita mencerminkan keyakinan bersama terhadap prinsip asas yang termaktub dalam perjanjian itu, prinsip yang berpunca daripada nilai teras yang dipertahankan ASEAN sejak enam dekad lepas,” katanya.
Lazaro menyifatkan TAC sebagai satu kerangka yang idealnya "tidak pernah dibatasi oleh geografi," sambil menambah: “Kita merupakan komuniti global yang walaupun dipisahkan oleh ribuan bahasa, dalam pelbagai cara menyuarakan aspirasi yang sama terhadap keamanan serta persahabatan dan kerjasama yang berkekalan.”
Beliau berkata kepelbagaian negara penandatangan baharu, "dari Baltik hingga negara-negara Nordik," menggambarkan sokongan antarabangsa yang luas terhadap prinsip ASEAN mengenai sikap saling menghormati dan kerjasama secara aman.
"Penyertaan anda juga merupakan pengiktirafan terhadap peranan proaktif ASEAN sebagai penggerak utama dalam membentuk dan menerajui seni bina berasaskan peraturan serta memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan di luarnya," kata Lazaro.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina itu menegaskan bahawa majlis berkenaan "lebih daripada sekadar acara simbolik," sambil berkata kerjasama antara pihak-pihak dalam perjanjian itu "bukan bersifat pasif, sebaliknya amalan yang dilaksanakan secara sedar dan berterusan" berasaskan komitmen bersama.
Gesaan tamatkan konflik di Asia Barat, Myanmar
Secara berasingan, satu komunike bersama yang diterima pakai oleh menteri luar ASEAN di Manila di bawah kepengerusian Filipina menggariskan keutamaan blok itu dalam integrasi serantau, keselamatan dan cabaran geopolitik.
Menteri berkenaan menegaskan semula komitmen mereka untuk melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategiknya, dengan menyifatkannya sebagai rangka tindakan untuk membina ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat, di samping memperkukuh perpaduan, kepusatan dan keupayaan institusi blok itu dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.
Mereka mengulangi kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan, kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan.
Menteri-menteri berkenaan menggesa semua pihak supaya menahan diri dan menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut 1982, serta pemuktamadan segera Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif dengan China.
Komunike itu menegaskan semula Konsensus Lima Perkara sebagai kerangka utama ASEAN bagi menyelesaikan krisis Myanmar, selain menggesa keganasan dihentikan dan akses kemanusiaan diperluas.
Komunike itu turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap pertempuran yang semakin memuncak di Asia Barat susulan perang AS-Iran, sambil menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera, orang awam dilindungi, undang-undang antarabangsa dihormati dan usaha diplomatik diperbaharui bagi mengelakkan ketidakstabilan serantau yang lebih meluas.
-- BERNAMA-ANADOLU